3 juta saham syarikat jadi sebahagian harta pusaka peninggalan Jamaludin - Utusan Malaysia

3 juta saham syarikat jadi sebahagian harta pusaka peninggalan Jamaludin

Mohd. Firuz Jaffril
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis memasukkan 3,000,000 saham syarikat Rantai Wawasan Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada harta pusaka peninggalan anaknya.

Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril memutuskan demikian ketika membenarkan sebahagian tuntutan saman Aminah Abdullah yang dikemukakan terhadap dua cucunya.

Aminah, 87, selaku plaintif menamakan anak sulung allahyarham, Nur Anis, 36, dan Ikwan Hafiz, 34, sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah bagaimanapun menolak tuntutan saman plaintif agar 6,000,000 saham Alpine Motion Sdn. Bhd. dan dua saham Ivory Insight Wawasan Sdn. Bhd. disenaraikan sebagai sebahagian harta pusaka.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, beliau turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos RM80,000.

Aminah memfailkan tuntutan saman terhadap kedua-dua cucunya atas dakwaan gagal memasukkan tiga syer syarikat bernilai RM1.3 bilion sebagai harta pusaka.

Dalam penyataan tuntutannya, Aminah mendakwa defendan pertama dan kedua sebagai pentadbir bersama harta pusaka allahyarham Jamaludin, gagal memasukkan syer tiga syarikat sebagai harta pusaka di dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir sewaktu kematiannya dan gagal memasukkan syer itu di dalam tanggungan sejak 6 Julai 2017.

Jamaludin yang juga bekas Ahli Parlimen Rompin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015 tanpa meninggalkan wasiat.

Hakim Mohd. Firuz dalam keputusannya berpuas hati bahawa Aminah berjaya membuktikan tuntutannya berhubung saham dalam Rantai Wawasan.

Ia dibuktikan melalui surat ikatan amamah yang dibuat pada 2009 yang menyatakan anaknya sebagai pemilik mutlak dan sah saham syarikat itu.

Dalam keputusannya, Hakim Mohd. Firuz turut berpuas hati bahawa allahyarham bukan pemilik Alpine Motion dan Ivory Insight kerana tiada bukti menunjukkan allahyarham membayar pegangan saham dalam kedua-dua syarikat itu.

Sebaliknya mahkamah berpendapat, 29 peratus pegangan saham dalam Alpine dibiayai melalui pinjaman manakala 11 peratus saham Ivory Insight dibiayai oleh lapan individu yang membuat pendahuluan berjumlah RM4.7 juta.

Ujarnya, apabila Alpine diperbadankan pada 2013, kedua-dua defendan telah mula terlibat dalam operasinya selama empat tahun sejak 2009 yang mana bukti keterangan menunjukkan mereka terlibat dalam penstrukturan semula syarikat.

Hakim Mohd. Firuz berpendapat, selepas menilai pernyataan tuntutan dan jawapan kepada pembelaan yang difailkan oleh defendan, plaintif gagal untuk memplid dakwaan ketidakjujuran yang mengaitkan salah seorang defendan.

Berkaitan Ivory Insight, mahkamah berpendapat, plaintif gagal membuktikan bahawa saham syarikat itu dibayar oleh allahyarham.

Dalam keputusan itu, Hakim Mohd. Firuz berpendapat, saham dalam Alpine dan Ivory dibeli untuk faedah kedua-dua defendan yang mana di antara 2011 dan 2012 mereka terlibat dalam operasi dan pengurusan syarikat-syarikat itu di bawah bimbingan allahyarham.

Hakim Mohd. Firuz dalam keputusannya turut tidak berpuas hati dengan teori mata duitan yang dibangkitkan oleh defendan-defendan dalam pernyataan pembelaan kerana teori itu tidak dijelaskan oleh kedua-duanya.

Aminah diwakili oleh peguam-peguam kanan, Pawancheek Merican dan Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala kedua-dua cucunya diwakili oleh S. Suhendran dan Frank Wong. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya