TEMERLOH: Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah atas tuduhan merogol anak angkat yang dijaga sejak kecil berusia 11 tahun enam bulan pada Jun lalu dan bulan ini.
Tertuduh berusia 27 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor selepas kertas pertuduhan terhadapnya selesai dibaca.
Tertuduh perlu menjalani hukuman 10 tahun penjara dan 10 kali sebatan bagi kesalahan pertama bermula tarikh dia ditangkap pada 21 Julai lalu.
Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan yang mana ia akan dilaksanakan selepas selesai hukuman pertama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada pertengahan bulan Jun lalu lebih kurang antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari semasa berada di sebuah rumah di Temerloh telah merogol seorang kanak-kanak di bawah umur yang juga anak angkat yang dipelihara sejak bayi.
Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh didkawa melakukan jenayah rogol terhadap mangsa dan tempat sama pada 19 Julai lalu lebih kurang pukul 11 pagi.
Susulan itu tertuduh telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (3 ) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang lapan tahun dan lebih 30 tahun penjara dan juga 10 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilah Mat Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE