KUALA LUMPUR: Rayuan ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan diketahui esok.
Perkara itu dimaklumkan menerusi jemputan kepada media untuk membuat liputan berkenaan prosiding itu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Pada 22 April lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh lain untuk membuat keputusan Tengku Adnan di atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan, 70, selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah.
Beliau kemudian memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman pada hari yang sama dia didapati bersalah.
Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd. (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Bhd., cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE