Mangsa guna mop lap air mani atas lantai - Utusan Malaysia

Mangsa guna mop lap air mani atas lantai

SLUG: 140721-PRK-KES ROGOL EXCO IPOH 13 JULAI 2021: Bekas exco Perak, Paul Yong Choo Kiong (kanan) yang menghadapi tuduhan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mengikuti perbicaraan kes hari ini. – PEMBERITA: ASLIZA MUSA/GAMBAR: ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, pembantu rumah warga Indonesia yang dikaitkan dengan kes rogol membabitkan bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong menggunakan mop untuk mengelap air mani di lantai bilik sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Saksi ke-14, Inspektor Simon Vadivelo berkata, perkara itu dimaklumkan oleh wanita terbabit kepadanya ketika pemeriksaan di lokasi kejadian pada 9 Julai 2019.

“Dia (pembantu rumah) telah mop lantai di mana terdapat air mani. Berdasarkan keterangannya, dia memberitahu ada kesan air mani pada tandaan lima dan enam.

“Sebagai pasukan forensik, kami membuat pemeriksaan dengan bantuan alat ‘polilight’ untuk mengesan kehadiran air mani tersebut,” katanya ketika menjawab soalan balas Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.

‘Polilight’ ialah alat sinaran cahaya yang digunakan pakar forensik atau saintis untuk mengesan darah, cap jari, cairan badan atau bahan bukti di tempat kejadian jenayah.

Simon memberitahu mahkamah, dia telah merampas mop yang digantung di pintu belakang rumah berkenaan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau juga bersetuju dengan soalan Rajpal bahawa kesan air mani masih wujud walaupun dicuci berbanding air kencing dan air teh yang akan hilang apabila dicuci.

“Kami tidak menggunakan polilight (ke atas mop bagi mengesan air mani), tetapi merampas untuk analisis DNA secara terperinci di Jabatan Kimia.

“Ini kerana, walaupun mop itu dicuci, kira-kira 40 hingga 50 peratus air mani masih boleh dikesan,” katanya.

Sementara itu ketika disoal peguam Salim Bashir sama ada beliau tahu bilik kelima rumah itu yang menjadi lokasi siasatan adalah kepunyaan anak lelaki Paul Yong yang kini belajar di tempat lain, Simon mengakui perkara itu dalam pengetahuannya.

Beliau juga mengetahui bahawa bilik berkenaan digunakan lelaki itu apabila pulang ke rumah.

“Setuju (tahu) dan diberitahu bilik itu kepunyaan anaknya (Paul Yong),” katanya.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Simon dari Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak memberitahu yang pihaknya merampas sehelai sarung tilam dengan terdapat lapan kesan tompokan disyaki air mani, selain membuat calitan sampel kesan disyaki air mani pada lantai dan tepi katil.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya