Enam termasuk jurutera daerah, penolong dan kontraktor direman - Utusan Malaysia

Enam termasuk jurutera daerah, penolong dan kontraktor direman

LIMA daripada enam individu termasuk seorang jurutera daerah, dua penolong jurutera direman selepas disyaki menerima rasuah daripada kontraktor di Mahkamah Johor Bahru di Johor -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Enam individu termasuk seorang jurutera daerah, dua penolong jurutera dari sebuah agensi kerajaan pusat di negeri ini direman selepas disyaki menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor di daerah yang dikawal selia mereka.

Lima suspek lelaki dikenakan tahanan reman selama tujuh hari manakala seorang suspek wanita yang merupakan penolong jurutera dikenakan reman selama lima hari.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar, Faridatul Farrah Mohd. Shukri selepas permohonan dibuat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Firdaus Hashim.

Keenam-enam suspek yang berusia antara 31 hingga 44 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru pada pukul 8.30 pagi sambil diiringi peguam, Adahikmah Abu Bakar.

Permohonan reman berkenaan dibuat bagi membolehkan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika disabit kesalahan, kesemua mereka boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, menurut sumber, jurutera daerah beserta dua penolong jurutera itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah daerah dalam negeri ini.

Tiga suspek lain yang merupakan kontraktor ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan projek yang ditawarkan oleh agensi berkenaan di sebuah daerah dalam negeri ini.

Projek yang dimonopoli suspek terlibat dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak kegiatan jenayah mereka bermula pada tahun 2018 hingga kini.

Sumber turut memberitahu, ketiga-tiga suspek kakitangan kerajaan itu telah menerima pelbagai bentuk suapan rasuah antaranya wang tunai, barangan berharga, pakej percutian dan sebuah bot. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya