CZBUCG dapat markah tertinggi untuk projek terowong Pulau Pinang - Utusan Malaysia

CZBUCG dapat markah tertinggi untuk projek terowong Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang memperakukan dan bersetuju melantik Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (CZBUCG) berhubung penglibatan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Saksi ketiga pendakwaan, Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, hal ini kerana CZBUCG mendapat markah tertinggi setelah melalui proses penilaian dua jawatan kuasa teknikal dan kewangan yang dibentuk kerajaan negeri.

Kata bekas Pengerusi Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri itu lagi, perkara tersebut kemudian dibentangkan dalam mesyuarat Exco untuk kelulusan.

“Saya sahkan keputusan ini telah dibentangkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri pada 30 Januari 2013. Tujuan pembentangan ini adalah untuk pertimbangan melantik Consortium Zenith BUCG untuk projek tiga jalan utama dan terowong.

“Semasa peringkat permohonan bagi cadangan (RFP), syarikat CZBUCG telah ditubuhkan atas gabungan syarikat Zenith BUCG, Juteras dan Sri Tinggi.

“Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan setuju dengan syor urusetia yang mengesyorkan syarikat CZBUCG yang telah mendapat markah tertinggi,” katanya dalam pernyataan saksi.

Terdahulu, Hock Seng memaklumkan sebanyak lapan syarikat layak mengambil bahagian dalam RFP terhadap rancangan projek tiga jalan utama dan terowong setelah berjaya melepasi syarat-syarat ditetapkan.

Katanya, semua syarikat berkenaan kemudian dinilai dua jawatankuasa berasingan iaitu teknikal dan kewangan yang dibentuk selepas cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng dan kemudiannya dipersetujui oleh mesyuarat exco.

“Setahu saya Consortium Zenith BUCG, Juteras dan Sri Tinggi telah mendapat syor oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan kerana mereka telah melepasi syarat-syarat dalam RFP,” katanya.

Semalam Hock Seng memberitahu bahawa beliau dimaklumkan oleh Guan Eng bahawa syarikat Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (BUCG) berminat untuk melaksanakan projek tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes rasuah Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Guan Eng, 60, didakwa terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya