Bekas pengawal keselamatan, rakan sejenayah kekal digantung - Utusan Malaysia

Bekas pengawal keselamatan, rakan sejenayah kekal digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini
mengekalkan hukuman mati terhadap dua lelaki termasuk seorang bekas pengawal keselamatan atas kesalahan melakukan rompakan wang tunai
RM1.2 juta dan menembak mati seorang pengawal keselamatan lain, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh dan Datuk Haminder Singh Dhaliwal sebulat suara menolak rayuan akhir kedua-duanya.

Mereka ialah Mohd. Hafizuddin Zainal Abidin, 34, (bekas pengawal keselamatan) dan Cheah Cheong Tatt, 32.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili perayu-perayu.

Pada 29 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Taiping, Perak menjatuhkan hukuman gantung sampai mati
terhadap kedua-duanya selepas berpuas hati pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh terhadap kesalahan yang dilakukan.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di hadapan pasaraya Giant, Jalan Tekah, Aulong, di antara 2 petang hingga 3.25 petang pada 18
September 2012.

Semasa kejadian, Mohd. Hafizuddin bertugas sebagai pengawal keselamatan syarikat Safeguards G4S Sdn. Bhd., didapati melakukan
kesalahan berjadual iaitu merompak wang tunai berjumlah RM1.2 juta milik majikannya dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan
kematian rakan setugas Hasnul Hafis Saad, 28.

Kejadian berlaku ketika Mohd Hafizuddin dan mangsa dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai
beberapa buah bank di bandar itu.

Sementara Chong Tatt didapati bersalah bertindak sebagai rakan sejenayah kepada Mohd. Hafizuddin
yang mana perayu mengetahui lelaki tersebut ketika itu memiliki senjata api.

Mohd. Hafizuddin didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala rakan sejenayahnya didakwa mengikut
Seksyen 3A akta yang sama.

Mangsa ditemukan mati di tempat duduk pemandu dengan empat kesan tembakan di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri dalam kejadian berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya