5 ahli `Kakak Sanggul Tinggi’ didenda RM4,000 - Utusan Malaysia

5 ahli `Kakak Sanggul Tinggi’ didenda RM4,000

ENAM individu termasuk tiga wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 19 Julai 2021 kerana mencederakan lelaki dalam pergaduhan di tepi Jalan Pasir Tumboh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lima daripada enam individu digelar geng `Kakak Sanggul Tinggi’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki dalam pergaduhan di tepi Jalan Pasir Tumboh Selasa lalu.

Lima individu itu, Mohd. Fakhrudin Mat Zain, 47; Samsuddin Mohamad Sidik, 45; Muhammad Syahrul Fahmi Abdullah, 24; Siti Nor Farah Shazlina Supian, 33; dan Siti Munirah Rizan, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Bagaimanapun, Nur Ashikin Rozaini 23,  mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama dengan sengaja merusuh di tempat awam hingga menyebabkan Mohamad Hamdi Hanafi, 30, cedera di muka, leher, bibir, belakang badan, siku dan lutut kanan.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 5 petang pada 13 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Samhana Aidenan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM4,000 kepada lima tertuduh yang mengaku bersalah manakala Nur Ashikin dibenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen bagi kes dihadapi Nur Ashikin yang bekerja sebagai pembantu kedai. Kesemua tertuduh membayar denda dan jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Minggu lalu, tular klip video memaparkan pergaduhan mulut antara mangsa dengan kumpulan suspek yang menaiki kereta Perodua Alza sebelum berakhir dengan mangsa dipukul beramai-ramai di tepi jalan.

Menerusi klip video itu warganet tertumpu kepada seorang suspek wanita bertudung sanggul tinggi, gara-gara aksi samsengnya menendang mangsa yang sudah jatuh terbaring. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya