19 lelaki didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang `Geng Sakai' - Utusan Malaysia

19 lelaki didakwa anggotai kumpulan jenayah terancang `Geng Sakai’

KENDERAAN membawa anggota kumpulan `Geng Sakai' di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan `Geng Sakai’ merupakan antara 19 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang itu.

Rosli Sahak (yang turut dikenali sebagai Sakai) bersama 18 yang lain berusia di antara 18 dan 47 tahun menyatakan `faham’ selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.

Mereka ialah Mohamad Faisal Mohamad Sharif, A. Ravindran, A. Uthayakumar, S. Sathiaseelan, T. Kumar, A. Kumaresan, N. Tanasilan, Thirumal Raj, M. Darshan, A. Dineswaran, S. Mohanraj dan R. Nantha Kumar.

Tertuduh lain, S. Gobinath, M. Ravishankar, M. Thinesh, N. Tannish, S. Sagadevan dan G. Sivanamtham.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dalam prosiding tersebut.

Pengakuan hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kerana tuduhan melibatkan kes keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Pertuduhan menyatakan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Sakai’ di Flat Seri Selangor di sini di antara Januari 2015 dan bulan lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun  jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Farhan Aliff Ahmad, Nur Ainaa Ridzwan, Maryam Jamielah Manaff dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh.

Seramai 17 tertuduh diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Datuk Geethan Ram Vincent, Revin Kumar, T. Harpal Singh, Jay Moy Wei Jiun, Wan Zaleha Abdul Wahab, P. Taneswaran serta K. Komagan manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, barisan peguam bela memohon anak-anak guam dibebaskan dengan jaminan walaupun mereka ditahan di bawah SOSMA.

Harpal yang mewakili Rosli dan Mohamad Faisal berhujah, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Seksyen 13 SOSMA yang melarang jamin tertuduh yang didakwa atas kesalahan melibatkan keselamatan,sebagai tidak berperlembagaan.

Keputusan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali pada Disember 2019 itu  membawa maksud bahawa hak tertuduh yang dibicarakan di bawah SOSMA untuk memohon jaminan, tidak dinafikan dan ini sekali gus mengembalikan bidang kuasa dan budi bicara mahkamah dalam menentukan sama ada tertuduh boleh diikat jamin atau sebaliknya.

Bagaimanapun, barisan pendakwa raya menghujahkan, Seksyen 13 SOSMA melarang jamin kecuali tertuduh berusia di bawah 18 tahun, golongan wanita dan mereka yang uzur.

Maryam Jamielah berhujah, peguam bela cuba untuk mengkaburkan mahkamah sedangkan jelas bahawa tertuduh yang didakwa di bawah kesalahan keselamatan adalah dilarang dikenakan jaminan.

Edwin Paramjothy menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan keputusan sama ada kesemua tertuduh dibenarkan jaminan atau terus ditahan.

Mahkamah turut memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 22 Julai ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya