KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak pelbagai barangan milik seorang wanita bernilai RM40,000 di depan pasar, bulan lalu.
Wan Azmi Wan Abdullah, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan berkumpulan hingga mangsa berusia 42 tahun mengalami kerugian sebanyak RM40,000 di depan pintu Pasar Gok Kapor, di sini pukul 5.50 petang, 19 Mei lalu.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalnaa meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh manakala tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan kerana perlu menanggung dua anak dan isteri sedang hamil.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Berdasarkan fakta kes, kerugian mangsa dianggarkan mencecah RM40,000 selepas kepingan emas, kunci kereta, kad mesin pengeluaran automatik (ATM), subang berlian, wang tunai RM5,000, beg tangan dan dompet jenama Louis Vuitton dirompak. – UTUSAN ONLINE