Pembantu kedai dipenjara tiga bulan tampar, ugut teman wanita kerana tidak memasak - Utusan Malaysia

Pembantu kedai dipenjara tiga bulan tampar, ugut teman wanita kerana tidak memasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang pembantu kedai kerana menampar dan mengugut teman wanitanya menggunakan sebilah pisau selepas berang wanita itu tidak memasak untuknya.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap A. Hendry Kesavan, 26, bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bagi setiap kesalahan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 16 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan cara mengacukan pisau dan berkata ‘kau tak payah hidup lagi’ terhadap teman wanitanya V. Shamme, 21, dengan niat untuk mendatangkan ketakutan. 

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bukit Rawang Putra, di sini pukul 8.30 malam pada 15 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Hendry Kesavan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor dia pernah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 2018.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam M. Mariappan memohon hukuman penjara ringan atas alasan pergaduhan berlaku kerana perselisihan faham.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang tidak berpuas hati kerana teman wanitanya tidak memasak telah menampar di bahagian mulut dan mencekik leher wanita itu selain mengugutnya menggunakan sebilah pisau berukuran 24 inci. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya