KUALA TERENGGANU: Bekas pengurus inkubator Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan projek bernilai RM17,000, enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Saiful Nizam, 40, yang sebelum ini berkhidmat di MARDI Besut membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya untuk mendapatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem pemotongan bagi mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 pada Mac 2015.
Mohd. Saiful didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh.
Mahkamah menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin di samping melapor diri ke SPRM Terengganu setiap awal bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa. – UTUSAN ONLINE