Dua remaja mengaku lempar mercun bola kepada polis - Utusan Malaysia

Dua remaja mengaku lempar mercun bola kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini terhadap pertuduhan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR), minggu lalu.

Kedua-dua tetuduh iaitu Muhammad Amirul Syafiq Yasin, 21, dan seorang pesalah juvana berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Memandangkan kedua-duanya masing-masing pesalah muda dan juvana, mahkamah menetapkan 25 Ogos ini sebagai sebutan tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menakutkan secara jenayah terhadap konstabel Mohd. Alifnajmi Kassim dan 11 lagi petugas SJR Mobile Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Balai Polis Gombak dengan cara membakar dan membaling tiga biji mercun jenis bola.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak pukul 10.30 malam pada 18 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M.Mariappan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,500 setiap seorang sementara menunggu tarikh seperti yang ditetapkan untuk jatuh hukum.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan dua lelaki melontar mercun jenis bola ke arah anggota polis bertugas di SJR namun tindakan itu mengundang padah selepas mereka ditahan ketika cuba melarikan diri.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam semalam itu berlaku di SJR Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kedua-dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun berkenaan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 ketika kejadian.

Menurut polis, suspek telah menghentikan motosikal di bahu jalan berhampiran SJR sebelum salah seorang remaja berkenaan melontar mercun bola ke arah anggota polis bertugas.

Hasil siasatan mendapati tindakan suspek melontar mercun ke arah anggota polis adalah disebabkan tanpa niat dan bersahaja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN