KUALA LUMPUR: Gara-gara menjual mercun, dua peniaga masing-masing didenda RM300 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Muhammad Al Fani Abdullah, 30, dan Muhammad Asyraf Abdul Wahid, 24 dikenakan hukuman itu selepas didakwa di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara lima hari sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan yang dibaca secara berasingan, Muhammad Asyraf didakwa memiliki 11 bunga api ketika pemeriksaan polis di hadapan sebuah pasar raya di Sentul di sini pada pukul 6.45 petang, 2 Mei lalu.
Dia boleh dihukum di bawah peraturan 74, Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1923, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM300.
Sementara bagi pertuduhan terhadap Muhammad Al Fani, dia didakwa menjual dan memiliki mercun (bunga api) di tempat awam iaitu di hadapan sebuah restoran di Off Jalan Loke Yew, pada jam 9.30 malam, 8 Mei lalu dan di dakwa mengikut seksyen sama.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi hukuman ringan. – UTUSAN ONLINE