PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan mengesahkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil pada 7 Mei lalu dalam menangani isu kerugian kedua-dua entiti itu.
Menurut kementerian itu, enam daripada writ saman difailkan oleh 1MDB, sementara 16 lagi oleh SRC untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (AS$23 bilion), termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.
Menurutnya, writ yang difailkan 1MDB itu adalah terhadap sembilan entiti (termasuk dua institusi kewangan asing) dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari, pecah amanah, frod, konspirasi frod, salah nyata frod serta pecah kewajipan dan amanah secara frod.
Ini termasuk, katanya, kesalahan penyembunyian secara frod, penyelewengan secara frod, bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana, kecuaian, penerimaan dengan pengetahuan, dan pengkayaan tidak wajar.
“Writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod; penerimaan dengan pengetahuan, salah laku dan penukaran salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, jelas Kementerian Kewangan, 1MDB dan SRC menyatakan bahawa entiti-entiti atau individu-individu berkenaan telah mendapatkan pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah dari 1MDB atau SRC.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB dan/atau SRC.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, katanya, kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC.
“Malaysia sebelum ini menerima RM10.5 bilion (AS$2.5 bilion) dari Goldman Sachs pada Ogos 2020 dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 bilion (AS$1.4 bilion).
“Tidak lama lagi, ujarnya, kerajaan juga akan menerima RM2.83 bilion dari Ambank Group dan RM336 juta (AS$80 juta) dari Deloitte PLT,” katanya.
Menurut beliau, semua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
Penyelesaian ini, katanya, tidak menjejas atau kompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalah laku lain yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC, dan mereka tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan jenayah dan sivil. – UTUSAN ONLINE