GEORGETOWN: Seorang wanita berusia 63 tahun ditahan reman dua hari bermula hari ini kerana disyaki menawarkan wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan kepada anggota polis untuk melepaskan individu yang ditahan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Jamaliah Abd. Manap di Mahkamah Majistret Georgetown, di sini selepas dimohon Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Jayarah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan wanita berkenaan diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar.
Wanita itu kelmarin ditahan bersama enam lelaki tempatan berusia antara 27 tahun hingga 67 tahun selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran rokok dan arak seludup di negeri ini.
Kesemua mereka ditahan menerusi Op Kontraban yang dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah di sini.
Operasi itu merampas 184,800 batang rokok kretek dan 1,632 tin arak tidak bercukai masing-masing bernilai RM151,536 dan RM10,883.48.
Selain rokok kretek dan arak, polis turut merampas enam kereta dianggarkan bernilai RM40,000 serta wang tunai RM218,187 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM448,756.48.
Kesemua suspek yang ditahan bersama wang sogokan diserahkan kepada SPRM Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE