Syarikat kejuruteraan didenda RM40,000 sebabkan kematian dua pekerja - Utusan Malaysia

Syarikat kejuruteraan didenda RM40,000 sebabkan kematian dua pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat kejuruteraan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam atas kesalahan gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat buat kakitangannya pada tahun 2018 dan 2019.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat berkenaan, iaitu Concrete Engineering Products Berhad didakwa atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kematian kepada dua kakitangan dalam dua kejadian berasingan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, syarikat itu pada 7 Februari 2018 telah gagal mengadakan loji yang selamat bagi kerja spinning acuan cerucuk sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut.

Dalam kejadian itu, rantai penyambung antara motor dan shaft terputus dan memecahkan kotak pelindung sehingga serpihannya terpelanting dan mengenai mangsa.

Ekoran itu, Hakim, Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada syarikat terbabit.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan kedua, syarikat itu pada 10 April 2019 telah gagal membuat perkiraan setakat yang praktik sistem kerja yang selamat untuk kerja ‘curing chamber’.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja maut akibat terjatuh dalam chamber berkenaan dan dihempap penutupnya.

Atas kesalahan tersebut, Ahmad Fuad turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Johor, Zakuan Fauzi dan W. Siti Nurfatin W. Mohd. Ghazali. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN