Penganggur, mekanik didakwa bunuh pemasang khemah - Utusan Malaysia

Penganggur, mekanik didakwa bunuh pemasang khemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dan seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh pemasang khemah di Taman Intan Baiduri, Kepong di sini, tiga minggu lalu.

Thiagarajan, 42, dan Elias Zainal Abidin, 44, didakwa bersama-sama membunuh M. Tushilen, 21, di hadapan Blok E, Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri antara pukul 10 pagi dan 1 tengah hari, 25 November lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mereka mengangguk faham ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Mereka tidak dibenar  jaminan.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan kes itu disebut semula pada 18 Februari tahun depan bagi mendapatkan laporan bedah siasat. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, mangsa dipercayai datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah sebelum beredar membeli makanan di Blok E.

Bagaimanapun, dua penunggang motosikal dipercayai menghampiri mangsa manakala salah seorang  turun daripada motosikal lalu menetak pemuda berkenaan.

Menurut laporan akhbar lagi, Tushilen dipercayai melarikan diri ke arah Blok B sebelum rebah. Dia ditemui orang awam di tempat kejadian.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya