KUALA LUMPUR: Dua pertuduhan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan dengan kes rasuah bagi projek terowong bawah laut dan jalan raya akan dipinda.
Tanpa memperincikan pindaan yang akan dibuat, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin memohon tarikh sebutan baharu bagi membolehkan pindaan dibuat dan pertuduhan pindaan dibacakan semula terhadap tertuduh.
Pada prosiding hari ini juga, peguam bela, Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Bagan itu turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu permohonan pada tarikh sebutan akan datang.
Kehadiran Guan Eng, 60, pada sebutan hari ini dikecualikan kerana beliau perlu menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.
Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng didakwa atas tuduhan meminta rasuah daripada Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli iaitu 10 peratus daripada keuntungan yang akan diterima oleh syarikat itu daripada projek terowong bawah laut.
Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Pada 10 Ogos lalu, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.
Pada 11 September lalu pula, bekas Menteri Kewangan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu. – UTUSAN