Harakah: Mujahid perlu berani terhadap kenyataan yang dibuat - Utusan Malaysia

Harakah: Mujahid perlu berani terhadap kenyataan yang dibuat

MUJAHID YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof seharusnya berani bertanggungjawab atas setiap kenyataan yang dibuat atau pendirian yang diambil ketika menjawat jawatan tersebut.

Selain itu, sebagai seorang menteri, Ahli Parlimen Parit Buntar itu tidak sepatutnya merasa tersinggung dengan setiap teguran, saranan atau kritikan yang dibuat oleh masyarakat terutamanya daripada media.

Menurut pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan, wartawan Harakah, Aziz Muda; Ketua Pengarang akhbar itu, Wan Nordin Wan Yaacob dan penerbit, Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. (Galeri Media), mereka tidak mempunyai sebarang niat jahat apabila menulis dan menerbitkan dua artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan Kerajaan PH patut dipersalahkan’ dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Artikel terbabit diterbitkan di akhbar Harakah dan laman sesawang akhbar berkenaan pada 7 Februari lalu berhubung isu usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Sajat yang berpakaian telekung ketika menunaikan umrah.

Sebaliknya, ketiga-tiga defendan yang dinamakan dalam saman yang difailkan oleh Mujahid selaku plaintif pada 12 Ogos lalu, dalam pernyataan pembelaan itu menyatakan, mereka mempunyai tanggungjawab sebagai penulis dan pengamal media untuk memberikan laporan berdasarkan kepada keadaan semasa dan berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan dibuat bekas menteri itu.

Mereka juga mempunyai tanggungjawab dari segi politik, moral dan sosial untuk menyebarkan pandangan berbeza bagi meraikan perbezaan pandangan dalam masyarakat khususnya berkenaan isu pendekatan Rahmatan Lil Alamin (Rahmat ke Sekelian Alam) dan juga konsep ‘Amar Maaruf Nahi Munkar’ (suruhan berbuat baik dan larangan berbuat mungkar). 

Sehubungan itu, saman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar itu wajar dibatalkan oleh mahkamah.

Pernyataan pembelaan tersebut diperolehi media melalui peguam, Yusfarizal Yussof yang mewakili ketiga-tiga defendan itu ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili Mujahid ketika dihubungi pemberita hari ini memberitahu kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Oktober ini.

Pada 12 Ogos lalu, Mujahid memfailkan saman terhadap Aziz, Wan Nordin, Galeri Media dan pencetak, Percetak Turbo (M) Sdn. Bhd., atas dakwaan memfitnahnya dalam dua artikel yang berbaur fitnah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mujahid mendakwa kesemua defendan telah menulis dan menerbitkan artikel-artikel tersebut dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah plaintif.

Pernyataan fitnah tersebut antaranya telah menggambarkan plaintif sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat khususnya yang beragama Islam terlibat di dalam aktiviti Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT) dan seolah-olah beliau menggalakkan amalan LGBT dan persetubuhan haram khususnya dalam kalangan umat Islam.

Mujahid mendakwa kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah menyebabkan beliau merasa tertekan dan malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sebuhungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Mujahid turut menuntut perintah agar kesemua defendan membuat permohonan maaf secara terbuka yang akan diterbitkan di akhbar berbahasa Melayu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan memberi akujanji tidak akan menulis atau melaporkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Mujahid.

Mujahid turut memohon perintah injuksi bagi menghalang kesemua defendan terus memberikan komen berbaur fitnah dan menarik balik artikel yang telah diterbitkan.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi yang akan ditetapkan termasuk relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya