1MDB: Perbicaraan sambung 9 November - Utusan Malaysia

1MDB: Perbicaraan sambung 9 November

NAJIB Razak didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion akan bersambung pada 9 November ini.

Perbicaraan yang sepatutnya bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (Bersyarat) (PKPB) yang bermula 13 Oktober lalu sehingga 27 Oktober ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi media hari ini.

Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah sepatutnya mendengar keterangan daripada saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman hari ini.

Pada 20 September 2018, Najib, 67, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Beliau turut didakwa atas lima pertuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20 juta untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000), ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000), ORB Solutions Sdn. Bhd. (RM2 juta) dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd..

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Bhd., No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN