18 Disember tarikh pengurusan kes Guan Eng - Utusan Malaysia

18 Disember tarikh pengurusan kes Guan Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen Butterworth di sini semalam menetapkan 18 Disember ini untuk pengurusan kes berkaitan rasuah melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, 60, dan dua yang lain.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memohon untuk melengkapkan dan meneliti dokumen berkaitan sebelum diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun kesemua tertuduh termasuk isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, 56, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, 48, tidak hadir pada prosiding tersebut kerana mendapat pengecualian kehadiran daripada mahkamah.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Silvaranjini manakala Guan Eng dan Gek Cheng diwakili peguam RSN. Rayer serta Li Koon diwakili A. Ruben Kumar.

Terdahulu, pada 11 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ia dengan cara memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Juru dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang bernilai RM11.61 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georget Town dekat sini antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Di mahkamah sama, Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng di lokasi dan tempoh yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di mahkamah sama, Gek Cheng mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,000 hasil daripada aktiviti haram.

Beliau yang juga seorang peguam didakwa menerima wang itu daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad antara Oktober 2013 hingga Mac 2016.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Gek Cheng didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 (Akta 613). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN