PUTRAJAYA: Kes-kes di Mahkamah Syariah di negara ini menunjukkan peningkatan yang konsisten melebihi 100,000 kes bagi setiap lima tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bagi tahun 2014 hingga 2018 sahaja, kes-kes yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara berjumlah 616,707 kes.
Beliau berkata, berdasarkan statistik berkenaan, ia menjadi sandaran kepada JKSM agar terus berusaha gigih bagi mencapai maqasid syariah dan maqasid qadhaiyyah dalam menyalurkan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Menurut beliau, dalam tempoh 22 tahun penubuhan JKSM, pelbagai kejayaan telah ditempa antaranya ialah pewujudan jawatan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat Persekutuan bagi tujuan mendengar kes rayuan di negeri-negeri selain penyelarasan akta atau enakmen di seluruh negara mulai tahun 2000.
“Bagi tahun 2019, JKSM menduduki ranking pertama dalam kluster perundangan dan kehakiman bagi pencapaian kluster terbaik agensi-agensi agama.
“Di peringkat antarabangsa pula, World Justice Project yang menjalankan kajian berhubung Rule of Law Index (RLI) pada tahun 2018 mendapati bahawa institusi kehakiman, ketelusan keadilan, hak asasi, keterbukaan kerajaan menyumbang kepada kedudukan Malaysia di tempat ke-53 daripada 113 negara di seluruh dunia, yang mana Malaysia merupakan antara lima negara Islam terbaik di dunia.
“Pada tahun 2019, kedudukan Malaysia meningkat ke tangga ke-51 daripada 126 buah negara, dan seterusnya pada tahun ini meningkat ke tangga 47 daripada 128 buah negara dengan Malaysia merupakan negara Islam kedua terbaik di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, kajian ilmiah yang dilakukan oleh Gutman dan Voigt terhadap institusi kehakiman di negara-negara Islam menerusi Islamic State Index (ISI) pula memberikan skala 3.602 daripada markah maksimum 4.0 bagi Malaysia.
Katanya, penilaian yang dilakukan tersebut adalah dengan meneliti keislaman sesuatu negara, yang diukur mengikut jumlah penduduk, peruntukan Perlembagaan mengenai Islam dan keanggotaannya di dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Dalam pada itu, beliau berkata, JKSM telah mengemukakan beberapa saranan bagi menaik taraf status Ketua Hakim Syarie dan Hakim Syarie di seluruh negara antaranya ialah penstrukturan semula jabatan itu dengan menzahirkan aspek pengasingan kuasa di antara badan kehakiman dan pentadbiran perundangan melalui pewujudan Suruhanjaya Kehakiman Syariah.
“Penjenamaan JKSM sebagai sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal pengurusan melibatkan perundangan syariah turut dicadangkan selain mengkaji semula kadar emolumen bagi para hakim syariah dengan pewujudan Akta Saraan Hakim Syarie yang khusus,” katanya. – UTUSAN