BUTTERWORTH: Kompleks Mahkamah Sesyen di sini pagi ini kembali menjadi tumpuan selepas bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi akan dihadapkan ke mahkamah.
Meskipun kes melibatkan Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya akan bermula pukul 11 pagi, namun pekarangan kompleks itu sudah mula dipenuhi kira-kira 50 pengamal media sejak pukul 8 pagi tadi.
Difahamkan, Guan Eng akan berdepan dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta melibatkan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Turut difahamkan, pertuduhan yang akan dihadapi hari ini adalah pertuduhan terakhir berhubung projek kontroversi terowong dasar laut sejak beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, setakat pukul 9 pagi ini, para penyokong Guan Eng dan orang ramai dilihat mematuhi arahan polis supaya tidak berkumpul di kompleks mahkamah apabila kelibat mereka tidak kelihatan.
Sementara itu, seperti kebiasaan, Guan Eng juga akan mengadakan sidang akhbar khas selepas selesai kes pertuduhannya di mahkamah di Pusat Khidmat DAP Bagan, dekat sini. – UTUSAN