Tukang cuci kereta didakwa cedera, ugut bunuh sepupu - Utusan Malaysia

Tukang cuci kereta didakwa cedera, ugut bunuh sepupu

MAGESWARAN mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan dan mengugut bunuh sepupunya dalam kejadian minggu lalu di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang tukang cuci kereta berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengugut bunuh dan mencederakan sepupunya minggu lalu. 

Tertuduh, B. Mageswaran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut untuk membunuh A. Linggeswaran, 27, yang juga sepupu lelakinya sehingga menyebabkan ketakutan dan kematian atau cedera parah terhadap mangsa. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, dalam pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa sama dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. 

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9.15 malam di sebuah rumah pangsa di Kampung Padang, pada 7 Ogos lalu. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menanggung dua orang anak dan isteri, selain mendakwa kejadian berlaku ketika dia dalam keadaan mabuk. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Shu Yee kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. 

Tertuduh gagal membayar jaminan tersebut dan dihantar ke Penjara Sungai Udang sebelum menunggu tarikh 20 Oktober depan bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya