Mengaku ugut bunuh ibu, nafi ugut bunuh bapa, abang - Utusan Malaysia

Mengaku ugut bunuh ibu, nafi ugut bunuh bapa, abang

SEORANG penganggur, Kamaluddin Lukman yang mengaku tidak bersalah mengugut bunuh bapa dan abang kandungnya diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka hari ini. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan keterlaluan dua penganggur mengugut bunuh ibu dan bapa serta abang mereka pada Selasa lalu membawa padah apabila dihadapkan secara berasingan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Dalam kes pertama, S. Anthony Zachary, 46, didenda RM3,000 atau empat bulan penjara setelah dia mengaku bersalah mengugut bunuh ibunya sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Tertuduh yang tidak berkahwin serta tidak mempunyai pekerjaan itu mengaku salah mengugut bunuh ibu kandungnya, S. Mary Grace, 67, di rumah beralamat No. 34, Jalan Bayan 12 Taman Bukit Katil, Melaka pada pukul 8.30 pagi, 11 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan ugutan jenayah dengan menyatakan jika mahu hubungi polis atau hantar ke hospital saya akan bunuh kamu.

Terdahulu, tertuduh merayu hanya dikenakan denda dan tidak dipenjara kerana tidak bermaksud mahu membunuh ibunya dan berada dalam keadaan tertekan ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh.

Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, seorang lagi penganggur, Kamaluddin Lukman, 25, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut untuk membunuh bapa dan abang kandungnya juga pada hari yang sama.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan secara lisan dengan mengeluarkan kata-kata ‘aku potong kamu semua’ sambil menghayunkan parang kepada bapa, Lukman Mydin, 54, dan abangnya, Kamaruddin Lukman, 25.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 7, Jalan Jasa Merdeka 26, Taman Dato Tamby Chik Karim, Batu Berendam, Melaka kira-kira pukul 3.30 petang 11 Ogos lalu.

Mohamad Izwan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan penjamin adalah bapa atau abangnya dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya