Lucut hak: Pendakwaan mohon pinda notis usul - Utusan Malaysia

Lucut hak: Pendakwaan mohon pinda notis usul

PENGANGGUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk meminda notis usul dan membetulkan afidavit sokongan berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 buah kereta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya serta 13 pihak yang lain akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin ketika ditemui selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas memberitahu pada tarikh sama, mahkamah akan menetapkan tarikh pengurusan kes bagi prosiding pelucutan hak membabitkan responden-responden sama.

“Antara pindaan dan pembetulan yang dibuat adalah berkaitan nombor akaun, jenis akaun dan nama serta cawangan bank yang terlibat,” katanya.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam, Syahirah Hanafiah yang mewakili Najib dan keluarganya.

Peguam terbabit ketika ditemui memberitahu pihaknya tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap pindaan dan pembetulan tersebut.

Pada 7 Mei lalu, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Pendakwa Raya menamakan bekas Perdana Menteri, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd. Najib, Nooryana Najwa Mohd. Najib, Mohd. Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, AS$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 beg tangan pelbagai jenama, dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN