Keluarga terima maklumat daripada bomoh, dakwa Nora Anne masih hidup - Utusan Malaysia

Keluarga terima maklumat daripada bomoh, dakwa Nora Anne masih hidup

CHONG Meei Chyi hadir ke Mahkamah Koroner Seremban sebagai saksi keempat pada prosiding inkues kematian remaja Nora Anne Quoirin, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak keluarga No­ra Anne Quoirin ada menerima beberapa maklumat daripada ‘bomoh’ berpangkalan di luar negara yang mendakwa remaja Ireland berusia 15 tahun itu masih hidup dan berada dalam ketakutan ketika kehilangannya itu.

Perkara itu dimaklumkan saksi keempat prosiding inkues punca kematian, Nora Anne Quoirin, Pegawai Turus Bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Chong Meei Chyi.

Ketika memberi keterangan di hadapan Koroner, Maimoonah Aid, Mee Chyi berkata, maklumat daripada ‘bomoh’ tersebut diterima oleh Dominic iaitu rakan rapat keluarga Nora Anne menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

“Mesej tersebut disampaikan oleh saudara mara keluarga orang hilang, maklumat pertama, (bomoh) mengatakan Nora Anne diekori seseorang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan masih hidup.

“Ada juga maklumat, Nora Anne masih di kawasan ber­dekatan resort (The Dusun), berada dalam ketakutan di dalam hutan, hilang dan mahukan ibunya,” katanya pada hari ke­empat prosiding inkues di Mahkamah Koroner Seremban, se­malam.

Prosiding inkues semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat.

Meei Chyi yang dilantik sebagai pegawai perhubungan yang berurusan dengan keluar­ga Nora Anne itu turut memberitahu, dia dimaklumkan bahawa ‘bomoh’ berkenaan juga mendakwa remaja istimewa itu berada di kawasan hutan di se­belah barat daya resort tersebut dan berkemungkinan berada da­lam sebuah van.

“Saya terima maklumat tersebut dan salurkan kepada pasukan mencari dan menyelamat untuk diambil tindakan tetapi keputusan masih negatif,” katanya.

Meei Chyi dalam keterangannya itu juga mengesahkan, maklumat berkenaan Nora Anne yang dikatakan mempunyai pemikiran seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun dan tidur dalam keadaan separuh bogel sebelum hilang adalah berdasarkan kenyataan adik perempuan remaja itu, Innes Julia.

Malah, menurut Meei Chyi, keluarga turut memberitahu Nora Anne tidak boleh berjalan jauh kecuali bersama keluarga sahaja dan mempunyai masalah komunikasi dan hanya keluarga memahami apa yang dituturkannya.

Meei Chyi yang memberi ke­terangan selama hampir empat jam itu memberitahu, selepas disahkan penemuan mayat Nora Anne, beliau turut mene­rima permintaan daripada ibu orang hilang, Meabh Jesophine Quoirin yang mahu ke lokasi mayat ditemui untuk diadakan upacara keagamaan.

“Pihak polis telah membawa keluarga Nora Anne yang terdiri dapada ibu, ayah, Michael (pakcik) serta nenek dan datuknya di lokasi tersebut selepas mendapat kebenaran daripada pihak forensik,” katanya memberitahu mereka berada di sana lebih kurang satu jam untuk upacara sembahyang.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Se­remban pada 3 Ogos 2019.

Dia kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN