KLANG: Seorang pembantu rumah menangis teresak-esak sambil mengesat air mata apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mencederakan anak majikannya padaJulai lalu.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain menjatuhkan hukuman ke atas Eli Limayati,21, yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Indonesia dialek Sunda.
Dalam prosiding tersebut, Hakim memerintahkan janda anak satu dipenjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Julai.
Selain itu, tertuduh juga dikenakan bon berkelakuan baik RM40,000 lima tahun dan seorang penjamin serta menjalani khidmat masyarakat 180 jam secara agregat dalam tempoh enam bulan.
Mengikut pertuduhan, Eli Limayati didakwa menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun melecur dalam kejadian pukul 6.30 petang, 29 Julai lalu di Taman Klang Perdana, Kapar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan dia tidak sengaja kerana ketika kejadian kanak-kanak itu meronta-ronta dan menangis sehingga terlepas daripada dukungan lalu terjatuh ke dalam baldi berisi air panas.
“Malah, saya juga perlu menanggung ibu bapa yang sakit selain perlu menjaga seorang anak di Indonesia berikutan telah berpisah dengan suami.
“Saya mohon maaf dan menyesal dengan apa yang berlaku serta tidak ingin mengingati perbuatan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan mungkin tidak mahu lagi bekerja, seorang pembantu rumah Indonesia bertindak `memandikan’ anak majikannya dengan air panas. – UTUSAN MALAYSIA