PETALING JAYA: Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group komited memperkasakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan tahun ini seiring dengan usaha meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
Inisiatif-inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh Yayasan VFive yang turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta pelbagai institusi masjid, surau dan madrasah tahfiz di sekitar Lembah Klang.
Antara program yang dilaksanakan termasuk sumbangan 750 pek makanan iftar harian, sumbangan baju raya percuma kepada anak-anak yatim, program singgah sahur, tajaan menunaikan umrah di bulan Ramadan, edaran bubur lambuk percuma dan pelbagai lagi bantuan kebajikan kepada masjid, surau, pusat-pusat tahfiz serta institusi pendidikan.
Bukan sahaja di dalam negara, sumbangan kebajikan ini turut disalurkan kepada masyarakat Islam di luar negara menerusi program infaq iftar di Masjidil Haram, Madinah dan Indonesia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, segala inisiatif CSR yang dirangka adalah bermatlamat mengurangkan bebanan golongan yang memerlukan agar sinar Ramadan dapat sama-sama dinikmati.
“Kehadiran Ramadan sebagaimana kita semua sedia maklum adalah sarat dengan kemuliaan dan keberkatan. Justeru amat rugi jika kita tidak mengimarahkannya dengan melakukan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Ini juga adalah selari dengan visi VFive Group selaku organisasi bumiputera untuk membantu dan sama-sama berkongsi rezeki dengan masyarakat yang memerlukan. Inshaa Allah, segala usaha kebajikan ini akan kita perluaskan lagi dari semasa ke semasa,” katanya semasa Majlis Iftar Perdana, semalam.
Majlis Iftar Perdana 2025 yang dianjurkan oleh VFive Group itu merupakan platform bagi mengeratkan ukhuwah antara warga kerja bersama pemegang taruh serta menyantuni anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.
Pada majlis tersebut, VFive Group turut menyalurkan sumbangan Infaq Mahabbah Ramadan kepada masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan dan komuniti penghantar makanan yang disampaikan dalam bentuk replika cek.