Sistem bay-lock punyai beberapa kelebihan, pilihan popular pengurusan parkir - MPK - Utusan Malaysia

Sistem bay-lock punyai beberapa kelebihan, pilihan popular pengurusan parkir – MPK

PROSES pemasangan peralatan bermula di beberapa lokasi strategik di negeri ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penggunaan sistem parkir atas bahu jalan tanpa palang (bay-lock) mempunyai beberapa kelebihan dan menjadikannya pilihan popular dalam pengurusan parkir.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, antara kelebihan sistem berkenaan adalah melibatkan penggunaan ruang yang lebih efisyen dan membolehkan kenderaan diparkir dengan sistematik.

Beliau berkata, kenderaan yang diparkir menerusi sistem ini juga akan lebih selamat daripada dicuri atau dirosakkan berikutan hanya pemilik sahaja boleh membuka bay-lock selepas pembayaran dibuat.

“Sistem ini juga memudahkan pengguna di mana mereka hanya perlu melakukan imbasan QR dan boleh membuat pembayan tanpa tunai bagi membuka bay-lock tempat parkir secara automatik,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan MPK akan melaksanakan sistem parkir pintar membabitkan 6,000 tapak parkir di seluruh negeri ini bagi fasa pertama berkuat kuasa selewat-lewatnya awal bulan depan.

Sistem parkir pintar merupakan sebahagian daripada inisiatif MPK ke arah kemajuan di negeri ini dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi jaminan bahawa pelaksanaan tersebut tidak akan mengundang kesesakan seperti dibangkitkan sesetengah pihak di media sosial.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, penggunaan sistem ini juga akan membantu dalam mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran lalu lintas lebih lancar di kawasan parkir.

“Malah ia mengurangkan amalan hoarding, meningkatkan perolehan tempat parkir dan menambah peluang parkir yang akan membawa kepada peningkatan kunjungan ke perniagaan sekeliling,” katanya.

Tambahnya, sistem itu juga dibangunkan dengan teknologi tinggi iaitu Internet-of-Things (IoT) dan mampu bertahan lama dengan memerlukan penyelenggaraan yang minima.

“Sistem bay-lock ini telah di implementasi untuk beberapa tahun di beberapa kawasan parkir komersial sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru.

“Dengan kelebihan-kelebihan ini, sistem parkir bay-lock merupakan penyelesaian yang efektif dan efisyen bagi pengurusan parkir di kawasan yang padat seperti tempat-tempat letak kereta negeri ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN