Seorang warga emas rentung, tiga buah rumah musnah terbakar

Seorang warga emas rentung, tiga buah rumah musnah terbakar

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Taman Permas Jaya, Johor Bahru, Johor tengah malam tadi yang turut mengakibatkan seorang lelaki warga emas maut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya, di sini tengah malam tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Bahri Mahpop berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.13 tengah malam.

Menurut beliau, 33 anggota beserta tujuh buah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat tiga buah rumah struktur kekal dengan keluasan 20×15 meter masing-masing telah terbakar dengan kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.

“Terdapat seorang mangsa yang maut iaitu penghuni kediaman yang paling teruk terbakar, di mana mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat atas kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Saiful Bahri, empat lagi mangsa dalam kebakaran itu dilaporkan selamat.

“Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Md. Aris Samar, berusia 84 tahun. Pemeriksaan dibuat mendapati dia mengalami kelecuran sehingga 70 peratus di badannya,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pemilik rumah terjejas, Syed Mohamed Mashor Syed Kassim, 43, berkata, kejadian disedarinya kira-kira pukul 12 tengah malam apabila asap mula memasuki bilik tidurnya melalui ruang siling.

“Saya baru pulang dari masjid apabila menyedari rumah mula dipenuhi asap. Ketika itu, ibu, ayah dan kakak berada di tingkat bawa  manakala ayah yang lumpuh berjaya diselamatkan dengan bantuan jiran,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya lagi, ketika kejadian, mangsa yang merupakan jirannya yang menghuni rumah yang paling teruk terbakar itu berada di tingkat atas.

“Saya segera membawa ahli keluarga keluar sebelum pergi ke rumah jiran dan melihat api sudah marak. Saya cuba naik ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan mangsa tetapi jatuh empat kali di tangga akibat asap tebal. Saya juga berusaha menyiram air ke dalam bilik tetapi api terlalu marak,” katanya lagi.

Seorang lagi mangsa, Latifah Samsuri, 31, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di tingkat bawah bersama dua anaknya berusia lima dan setahun.

“Saya dikejutkan apabila anak terbatuk akibat asap, pada mulanya saya hanya sangkakan bau biasa, namun tidak lama kemudian saya terdengar jeritan jiran.

“Saya terus terjaga dan melihat asap sudah mula memasuki rumah dari bilik tingkat atas. Tanpa berfikir panjang, saya segera menarik keluar dua anak saya dan berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya