SHAH ALAM: Peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Seksyen 2, di sini teruja apabila berkesempatan bersalaman dan bermesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjungi lokasi tersebut sempena Ramadan, hari ini.
Seorang peniaga, Mior Mohd. Syukri Musa, 41, berkata, dia menyifatkan saat itu sebagai rezeki paling berharga apabila Anwar mengunjungi gerainya dan bersalaman dengan pelanggan yang sedang membeli juadah untuk berbuka puasa.
“Sebagai tanda penghargaan saya hadiahkan beberapa menu makanan kepada Perdana Menteri kerana walaupun dalam pertemuan yang singkat, namun ia menunjukkan kesudian beliau datang. Beliau pemimpin nombor satu negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan tersebut.
Sementara seorang pengunjung, Abdul Ismail Abdullah, 60, pula memberitahu tidak menyangka berpeluang bertemu dengan pemimpin negara ketika berkunjung ke bazar tersebut dan menyifatkannya sebagai detik manis.
“Beliau menyapa saya dan bertanya khabar, selain itu Perdana Menteri juga nasihatkan saya supaya menjaga kesihatan, mungkin atas sebab faktor umur,” selorohnya.
Terdahulu, Anwar yang turut ditemani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi tiba di bazar tersebut kira-kira pukul 6.15 dan menyantuni kira-kira 42 peniaga dan ratusan pengunjung yang hadir.
Beliau juga sempat menitipkan doa serta mengucapkan selamat berjaya kepada salah seorang pekerja yang bekerja di bazar berkenaan, Wan Dayini Syahirah Mior Ahmad yang sedang belajar dalam semester akhir Ijazah Sarjana Perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Beberapa peniaga turut memberikan juadah berbuka puasa seperti murtabak, kuih samosa, bubur dan lain-lain lagi kepada Anwar dan Amirudin.
Selain itu, Anwar turut meninjau sendiri Inisiatif e-Wallet RM20 di bawah program Retail Digitalisation Initiative (REDI) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Selepas menghabiskan masa kira-kira 20 minit di sana, beliau menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pimpinan Masyarakat Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7. – UTUSAN