SHAH ALAM: Sepasang baju raya lengkap bersama songkok mungkin hadiah paling bermakna untuk seorang penerima, Aiman Hamza Abdul Manan,11, yang berpuasa tanpa gagal hingga ke hari ini.
Menurut Aiman Hamza, ibu bapanya yang berniaga gerai kopi di Taman Cheras Jaya, sering memberi motivasi kepadanya untuk terus berpuasa penuh tahun ini.
“Emak selalu ingatkan saya untuk menjaga perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.Emak kata kalau puasa penuh sudah pasti Allah bagi banyak pahala dan rezeki tidak disangka-sangka.
“Baju raya warna maroon yang saya pilih hari ini adalah hadiah terbaik untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Terima kasih kerana hadiahkan kepada saya,” katanya ketika ditemui pada Program Ehsan Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi, hari ini.
Sementara itu seorang lagi penerima,Nurarisya Dahlia Mohd. Hanafiah,9, berkata, dia berasa gembira mendapat baju kurung baharu percuma pada bulan Ramadan tahun ini.
Nurarisya Dahlia berkata,ibu bapanya yang bekerja sebagai penghantar bungkusan sudah mengajarnya berpuasa sejak Tahun Satu lagi.
“Ibu bapa saya yang berpanas dan berhujan semasa bekerja pun mampu berpuasa setiap hari, mengapa saya tidak boleh. Harap tahun ini puasa saya penuh, barulah seronok pakai baju baru ini,” ujarnya. – UTUSAN