KOTA BHARU: Tingkah laku seorang warga emas kerap meluahkan tentang kematian, membawa petanda dia pergi buat selama-lamanya selepas cuba menyelamatkan dua cucunya yang lemas dalam kejadian di Pantai Irama, Bachok, dekat sini, semalam.
Rosli Yusof, 63, seorang pesara Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dikatakan bersama cucunya turun ke pantai untuk bermain air di kawasan hujung batu di pantai berkenaan pada pukul 9 pagi.
Isteri mangsa, Zuraini Isa, 55, berkata, dia tidak menyangka luahan suaminya tentang kematian sejak kebelakangan ini membawa kepada tragedi tersebut.
Katanya, sebelum kejadian dia bersama arwah suaminya, anak perempuan, Nurul Anis Roslee, 33, bersama dua cucu, Muhammad Lutfirrahman Mohammad Zul-Izzy, 7, dan Muhamnad Zhafran, 8, ke pantai tersebut pada pukul 8.40 pagi.
“Kami bertolak dari Kampung Tanjong Mas, di sini, selepas anak dan dua cucu datang bermalam di rumah. Mereka mengajak arwah suami dan kami kemudian ke sana (Pantai Irama).
“Secara tiba-tiba saya yang berada kira-kira 10 meter dari tempat mereka mandi melihat suami melambai-lambai tangan meminta tolong,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini, semalam.
Zuraini berkata, dalam keadaan panik, Nurul Anis dan arwah suaminya cuba menyelamatkan Muhamnad Lutfirrahman dan Muhammad Zhafran bagi mengelak dibawa arus.
Katanya, pada masa sama orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian turut membantu cuba menyelamatkan mereka.-UTUSAN.