TANAH MERAH: Tiga beradik berketurunan Cina bukan sahaja mencuri tumpuan malah dilihat begitu teruja berkhatan sepertimana yang dilakukan oleh umat Islam.
Tan Xavier ,12, Tan Xaden,11 dan Tan Xarel, 8, merupakan antara 47 peserta yang menyertai Khatan Perdana di Hospital Tanah Merah di sini, semalam.
Ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan, Tan Bee Kham, 40, berkata, hidup berjiran bersama masyarakat Melayu mendorongnya membuat keputusan untuk mengkhatankan anak-anaknya itu.
“Percampuran itu membuat kami mengetahui kebaikan dan kelebihan berkhatan. Lagipun, ada dalam saudara-mara saya khususnya lelaki yang sudah berkhatan. Selepas memberitahu ketiga-tiga anak, mereka bersetuju malah teruja untuk berkhatan,” katanya pada majlis Khatan Perdana di Hospital Tanah Merah yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin.
Bee Kham berkata, dia merancang untuk mengkhatankan anaknya sejak tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan atas faktor kewangan.
“Jika berkhatan di klinik swasta saya perlu bayar RM180 untuk seorang. Jadi, saya tidak mampu untuk tiga anak.
“Mujurlah pihak Hospital Tanah Merah mengadakan program berkhatan secara percuma, ia dapat membantu menringankan bebanan kewangan,” katanya.-UTUSAN.