TEMERLOH: Nasib pemaju perumahan bumiputera kini didakwa ibarat telur di hujung tanduk kerana dibebani kos perbelanjaan tinggi sehingga lebih RM1 juta demi menyiapkan 200 unit rumah mampu milik.
Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Nazrul Izad Mohd. Arsad mendakwa, antara kos yang begitu membebankan pemaju perumahan bumiputera adalah geran individu RM2,400 seunit rumah yang perlu dibayar kepada Lembaga Jurukur Tanah.
“Kos dikenakan oleh Lembaga Jurukur Tanah terlalu mahal dan tidak sesuai untuk rumah mampu milik. Seunit rumah RM2,400, kebiasaannya pemaju akan membina 200 unit atau bergantung kepada keluasan tanah.
“Jadi kos yang perlu dibayar kepada lembaga berkenaan sahaja berjumlah hampir RM500,000 untuk membina 200 unit rumah mampu milik. Itu belum lain-lain kos seperti bahan mentah, tenaga kerja, ia melebihi RM1 juta,” dakwanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini
Ketika ini, jumlah pemaju perumahan bumiputera terlalu kecil sekitar 50 orang daripada 1,200 pemaju berlesen seluruh negara.
Sektor perumahan negara kini didominasi oleh bukan bumiputera memandangkan syarat-syarat ketat dikenakan kerajaan untuk sesebuah syarikat itu menjadi pemaju bidang berkenaan.
Mengulas lanjut, Nazrul Izad mendakwa, ia belum mengambil kira kos sumbangan kepada kerajaan untuk membina rumah mampu milik.
“Jika rumah teres dengan keluasan 800 kilometer persegi (kp), sumbangan yang perlu dibayar berjumlah RM100,000 seunit kos,” dakwanya.
Beliau berkata, pemaju perumahan bumiputera memohon kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengecualikan beberapa kos iaitu geran individu, sumbangan kepada kerajaan dan penggunaan sistem berpusat Indah Water Konsortium (IWK) kepada sistem individu.
“Tiga kos ini sahaja cukup tinggi perlu dibayar pemaju perumahan, geran individu RM2,400 seunit, sumbangan kerajaan (RM100,000) untuk rumah teres 800kp dan untuk sistem berpusat IWK RM10,000. Jika dapat tukar kepada sistem individu dapat jimat RM8,000 seunit.
“Cuba bayangkan jika pemaju perumahan ada 10 tapak projek. Satu tapak 200 unit rumah. Tentunya kos yang perlu dibayar cukup tinggi hanya untuk menyiapkan rumah mampu milik,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu menggalakkan pemaju bumiputera berkecimpung dalam sektor ini dengan memberi geran bantuan atau jaminan bank bagi membeli barang pembinaan dengan mudah.
“Kerajaan boleh melantik Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi membantu pemaju bumiputera yang semakin pupus penglibatannya pada ketika ini,” katanya.
Menurutnya, beliau berazam menubuhkan Persatuan Pemaju Perumahan Bumiputera Malaysia untuk menyampaikan suara kepada kerajaan bagi memudahkan penglibatan golongan berkenaan dalam sektor pemaju perumahan.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta kerajaan menetapkan kuota wajib bumiputera bagi pemilikan aset-aset komersial seperti rumah kedai, bangunan pejabat dan servis apartmen yang pada ketika ini tidak sampai 15 peratus dimiliki oleh golongan berkenaan.
Menurutnya, pemilikan majoriti aset-aset berkenaan ketika ini dikuasai bukan bumiputera.-UTUSAN.