MELAKA: Menimba ilmu dalam bidang kejuruteraan malah sudah bergelar jurutera, namun seorang pemuda nekad untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan mengusahakan tanaman cili fertigasi.
Mohammad Yazed Idres, 39, berkata, dia berani membuat keputusan itu termasuk meletakkan jawatan sebagai penolong jurutera di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kerana yakin bidang pertanian mampu menjana pendapatan lebih baik.
Keputusan nekadnya itu boleh disifatkan sebagai tepat kerana dia kini mampu meraih pendapatan lima angka menerusi 12,000 polibeg (beg semaian) cili fertigasi yang diusahakan di tanah seluas 0.6 hektar di Kampung Pasir Putih, Bachang dekat sini.
Menurutnya, dia kini mampu menghasilkan sebanyak satu tan cili setiap kali menuai.
Kejayaan tersebut menjadikan Mohammad Yazed menjadi contoh dan antara pengusaha tanaman cili fertigasi di tengah bandar paling berjaya.
“Mulanya saya amat berat hati mengambil keputusan berhenti kerja tetapi saya nekad kerana yakin bidang pertanian mampu menjadi sumber rezeki saya menyara isteri dan tiga orang anak.
“Saya bermula dengan penanaman keledek dan jagung secara sambilan di Pulau Gadong. Hasilnya cukup meyakinkan kerana dapat pulangan yang baik dan daripada situ saya mula mengusahakan cili fertigasi bermula dengan 3,000 polibeg,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.
Mohammad Yazed bagaimanapun mengakui, tanaman cili fertigasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk diusahakan kerana ia memerlukan penjagaan rapi dan mudah mendapat serangan serangga perosak.
“Disebabkan itu, ramai tidak berani mengambil risiko untuk mula secara berskala besar tetapi saya bertekad masalah tersebut dapat diatasi temasuk menerusi tunjuk ajar dan bantuan kepakaran daripada pelbagai pihak.
“Saya amalkan cara penjagaan dengan betul seperti kawalan air, baja serta racun,” katanya mempunyai pelanggan tetap termasuk di pasar dan restoran.-UTUSAN.