PASIR PUTEH: Keputusan seorang pengasas rumah kebajikan di Kampung Permatang Sungai di sini, mengusahakan tanaman pokok tin menggunakan kaedah fertigasi dan rumah hijau berbaloi apabila tumbuhan itu bukan sahaja hidup subur malah mengeluarkan buah seberat 120 gram sebiji.
Pemilik AY Benefigs Farm, Datuk Nazry Mohamad Nor berkata, tanaman itu diusahakan bertujuan mengukuhkan dana bagi membiayai operasi pusat penjagaan warga emas dan pelindung wanita serta 11 rumah anak yatim di bawah kendaliannya.
Katanya, pemilihan pokok tin dibuat kerana tanaman itu mudah berbuah, senang dijaga dan mendapat permintaan tinggi.
“Ketika ini saya mengusahakan kira-kira 900 pokok tin di atas tanah seluas 0.6 hektar. Alhamdulillah, saya tidak menyangka buah tin yang saya usahakan ini mengeluarkan hasil memuaskan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.
Nazry berkata, beliau mengusahakan tanaman itu secara organik sekali gus membolehkan buah tin tersebut dimakan tanpa perlu dibuang kulit dengan rasa yang manis.
Katanya, pokok tin mengambil masa lima bulan untuk berbuah.
“Ladang ini mula dibuka pada penghujung Oktober lalu kepada orang ramai yang boleh masuk secara percuma. Sebuah lori penumpang disediakan untuk membawa pengunjung ke ladang sambil menikmati keindahan kampung sejauh 4.5 kilometer.
“Di sini kami ada menyediakan hidangan berbentuk minuman, ais krim berasaskan buah tin,” katanya.-UTUSAN.