Perlis sasar keluar 10 tan bawang setahun - Utusan Malaysia

Perlis sasar keluar 10 tan bawang setahun

RAZALI Saad (kanan) menunjukkan hasil bawang merah yang dituai selepas Perlis melaksanakan projek rintis penanaman bawang pertama di negeri ini sejak tahun lalu di Kampung Rambai, Padang Siding, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis menyasarkan pengeluaran kira-kira 10 tan metrik bawang merah setahun melibatkan empat kawasan yang menjadi perintis kepada projek penanaman sayuran itu di negeri ini sejak tahun lalu.

Ia membabitkan kawasan tanaman seluas lebih dua hektar di Perlis masing-masing di Kampung Rambai, Padang Siding seluas satu hektar, Oran (0.29 hektar), Hutan Temiang (0.58 hektar) dan Titi Tinggi seluas 0.4 hektar.

Pada masa ini, kawasan tanaman di Kampung Rambai di sini sudah berjaya menghasilkan sebanyak 300 kilogram (kg) bawang merah bagi tuaian pertama dan bakal diikuti tiga lagi kawasan penanaman lain selepas ini.

Melihat kepada kejayaan itu, Perlis juga menyasarkan keluasan tanaman sehingga 10 hektar dalam tempoh lima tahun sekali gus sebagai salah satu usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, projek rintis tanaman bawang pertama di Perlis itu bermula sejak tahun lalu yang kini sudah menuai hasil.

Katanya, tempoh penanaman bawang merah tersebut adalah sekitar 65 ke 70 hari sebelum dituai dan dalam tempoh setahun sekurang-kurangnya tiga kali proses tuaian.

“Projek tanaman bawang ini bukan sahaja meningkatkan pengeluaran bawang merah tempatan tetapi membuka peluang kepada para petani di negeri ini terlibat dengan tanaman berkenaan yang pasaran sudah terjamin.

“Selepas melihat kepada kejayaan ini, semakin ramai yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan. Jabatan Pertanian negeri akan menyediakan insentif seperti benih, input pertanian dan infrastruktur kepada pengusaha yang terlibat dengan tanaman ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pengusaha tanaman bawang di Kampung Rambai, Md Sailihin Abd. Rahman,44, berkata, dia mula mengusahakan tanaman tersebut sejak November 2024 di kawasan tanaman yang pada mulannya adalah kebun getah.

Katanya, bagi tuaian pusingan pertama, sebanyak 300 kg berjaya dituai dan setiap kilogram mencapai 148 biji bawang.

“Pasaran setakat ini tidak ada masalah memandangkan bekalan bawang merah ini sangat diperlukan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Daripada segi penjagaan pula adalah seperti proses pembajaan, kawalan perosak dan racun rumpai. Tanaman ini, selalunya yang berisiko adalah serangan kulat.

“Sebelum ini, saya mengusahakan tanaman kucai sebelum beralih arah mencuba tanaman bawang yang pertama kali dilaksanakan di Perlis. Selepas ini, saya akan perluaskan lagi kawasan tanaman bawang ini,” katanya,-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya