PONTIAN: Seorang pengusaha dodol bimbang susulan bekalan kelapa yang semakin berkurangan menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Halinda Haron, 50, berkata, bekalan kelapa yang mencukupi merupakan elemen penting dalam pembuatan kuih tradisional itu.
Bagaimanapun katanya, sejak bulan lalu bekalan kelapa tempatan berkurangan disebabkan faktor ‘melawas’ atau kekurangan buah serta permintaan tinggi dalam aktiviti ekonomi lain termasuk daripada pengusaha santan yang memerlukan bekalan banyak setiap hari selain peniaga nasi lemak.
“Disebabkan kekurangan bekalan kelapa, saya terpaksa membeli kelapa yang diimport dari Indonesia dengan harga RM2.80 sekilogram (kg) di jeti Tongkang Pechah, Batu Pahat. Sebanyak 700 kilogram bersamaan 678 biji dibeli dengan harga RM1,820 tidak termasuk kos penghantaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Lorong Tengah, Kampung Rimba Terjun, dekat sini.
Pada hari biasa, dia memerlukan kira-kira 300 biji atau 1,200 biji kelapa sebulan bagi membuat dodol yang menggunakan jenama ‘Dodol Makndak’ menggunakan tiga kawah besar.
“Setiap kawah pula menggunakan 35 kg santan kelapa, 15 kg pulut dan 25 kg gula merah yang dimasak selama 10 jam supaya benar-benar masak,” katanya yang memulakan perniagaan itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Namun dia akan berusaha bagi mendapatkan bekalan kelapa tempatan yang dibeli dengan harga antara RM1 hingga RM1.50 sebiji, sebelum memikirkan alternatif lain.
Katanya, pengeluaran Dodol Makndak bagi sambutan Aidilfitri biasanya mencapai tiga tan berbanding antara 800 kg hingga satu tan sebulan di luar musim perayaan.
Halinda mengakui cabaran utama ketika ini adalah bagi mendapatkan bekalan kelapa tempatan untuk memenuhi tempahan daripada pelanggan yang biasanya bermula pada hari pertama Ramadan.
“Kami juga bimbang berlaku kenaikan harga kelapa, sekali gus menyebabkan harga dodol terpaksa dinaikkan bagi menampung kos,” katanya.-UTUSAN.