SEREMBAN: Pengunjung di 11 buah pantai di Port Dickson harus mematuhi larangan pemasangan khemah yang dikuatkuasakan pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, sekiranya khemah dipasang tanpa kawalan kemungkinan isu sama berkaitan pemasangan ‘khemah biru’ di Pantai Telok Kemang sebelum ini akan berulang.
“Bagi saya tindakan penguatkuasaan larangan oleh MPPD itu tiada masalah, dan ia sememangnya menjadi tanggungjawab MPPD untuk menjaga pantai awam.
“Kalau khemah-khemah ini dipasang sesuka hati tanpa kawalan, isu sama akan berulang. Bukan sahaja menutup pemandangan dan menyemakkan, ia akan memberi peluang kepada pengusaha di sana juga melakukan perniagaan.
“Oleh sebab itu kita perlu mengawal pemasangan khemah di pantai Port Dickson ini kerana ada pengunjung bertindak buang sampah merata dan ada yang membuat unggun api. Ini sesuatu yang kita tidak benarkan dan perlu dibendung dari awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan kekecewaan pengunjung berkenaan larangan pemasangan khemah di 11 pantai awam di Port Dickson.
Arul Kumar dalam pada itu berkata, pengunjung masih dibenarkan meletak tikar atau kanvas untuk berkelah sambil mandi-manda di pantai yang mereka kunjungi.
“Saya tahu memang menerima pelbagai aduan dan berharap peraturan penguatkuasaan larangan pemasangan khemah ini dapat dipatuhi dan lebih baik kita bendung dari awal,” katanya.-UTUSAN.