Penduduk kecewa Rumah Mat Kilau belum dibina - Utusan Malaysia

Penduduk kecewa Rumah Mat Kilau belum dibina

MOHD. Rozi Rozuki menunjukkan papan tanda di hadapan jalan masuk ke tapak asal rumah Mat Kilau di Kampung Kedondong di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk dan wa­ris Mat Kilau serta budayawan kecewa kerana usaha pembinaan rumah Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau belum direalisasikan di Kampung Kedondong, di sini.

Pembinaan rumah itu antara cadangan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan nege­ri berikutan tayangan filem epik sejarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada 2022 yang mendapat sambutan luar biasa peminat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan (JPKK) Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, cadangan pembinaan semula rumah itu seolah-olah lenyap dan tidak kedengaran lagi seperti mana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang kian dilupakan orang ramai.

“Ketika filem epik sejarah ini mula meletup pada perte­n­gahan 2022, ramai yang datang ke sini termasuk wakil kerajaan negeri dan puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beria-ria serta berjanji untuk memberi peruntukan membina semula rumah Aki Mat Kilau di pesisir Sungai Pahang di kampung ini.

“Tetapi, sehingga kini janji tinggal janji dan saya sendiri tidak menerima apa-apa dokumen atau surat berhubung pembinaan semula rumah ini yang sudah hampir tiga tahun me­nunggu menunggu dengan penuh yakin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Mohd. Rozi, tapak asal rumah Aki Mat Kilau kini sudah dilitupi semak-samun dan ahli JPKK di situ tidak mampu lagi membersihkannya kerana melibatkan kos tinggi.

Menurutnya, kemungkinan terdapat kesukaran untuk pihak berwajib membina semula rumah di situ kerana tapak berke­naan masih lagi terikat dengan hak milik waris Mat Kilau yang masih hidup dan sudah meninggal dunia.

“Jika pihak berwajib hendak bina semula rumah berkenaa, tentu melibatkan perbelanjaan besar, mungkin perlu bayar pampasan harga tanah kepada ramai pemiliknya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya