LIPIS: Kira-kira 500 penduduk di empat kampung di Pos Lenjang, Ulu Jelai dekat sini diselubungi ketakutan kerana kerap diganggu kawanan gajah yang keluar merayau pada waktu malam hingga menjelang awal pagi.
Seorang penduduk, Daruddin Rahim, berkata, tiga ekor gajah muncul sejak tiga minggu lalu yang memasuki kawasan tanaman dan menghampiri rumah penduduk di Kampung Paroh, Nangka, Batu Gajah dan Simpang Gening.
“Gajah ini bukan sahaja makan malahan merosakkan tanaman seperti sayur-sayuran, pokok pisang, ubi kayu, nangka dan padi huma yang menjadi sumber makanan serta jualan kami.
“Lebih menakutkan apabila haiwan liar ini menghampiri rumah lalu merosakkan bilik air dan saluran paip air sehingga kami perlu mengeluarkan belanja membaiki semula,” katanya di Kampung Gening, Pos Lenjang dekat sini.
Daruddin berkata, haiwan itu masuk ke setiap kampung tersebut yang terletak bersebelahan dalam tempoh sepanjang malam menjelang ke waktu pagi sebelum masuk semula ke hutan berdekatan.
Jirannya, Rahim Chadang, berkata, haiwan liar itu semakin agresif masuk ke kampung mencari makanan dan selebihnya dirosakkan sehingga pekebun menanggung kerugian setelah berhabis banyak wang untuk modal pengurusan tanaman.
“Tiada jalan lain untuk menghalau haiwan ini hanya kami berjaga malam dengan membakar mercun dan menyalakan unggun api berdekatan rumah dan kawasan tanaman namun tidak diendahkan gajah berkenaan,” katanya.
Ujarnya, sekiranya gangguan itu masih berterusan, penduduk takut untuk keluar bekerja pada waktu siang di kebun getah dan kawasan tanaman komersial.-UTUSAN.