PONTIAN: Pejabat Daerah Pontian akan membantu mencari jalan penyelesaian terhadap isu kualiti Jambatan Sungai Pulai, dekat sini yang sering menjadi rungutan orang ramai.
Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal berkata, jambatan tersebut yang mula digunakan pada 19 Januari 2023 sebenarnya belum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor oleh pihak pemajunya.
Menurutnya, walaupun di luar bidang kuasa namun masalah tersebut dibangkitkan orang ramai turut memberi ‘tempias’ kepada pihaknya sebagai pentadbir utama daerah ini.
“Kami akan berusaha untuk membantu dengan membawa masalah ini kepada pihak-pihak berkaitan agar isu ini tidak terus berpanjangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Isu kualiti Jambatan Sungai Pulai di sini yang dibina dengan kos sebanyak RM800 juta telah menimbulkan rungutan orang ramai kerana keadaan jalannya yang berlekuk, mendap dan tidak diselenggara dengan baik dan disifatkan sebagai ‘bom jangka’ kepada penggunanya.
Mengulas lanjut, Kamalludin berharap isu berkenaan dapat diatasi segera dan tidak menjejaskan kedatangan elancong ke Pontian sempena Tahun Melawat Johor kerana Jambatan Sungai Pulai merupakan laluan masuk utama ke destinasi pelancongan di Tanjung Piai.
Sementara itu jurucakap JKR Pontian memaklumkan pada bulan Mei ini pihak pemaju akan membuat kerja-kerja pembaikan di lokasi yang berlaku mendapan.-UTUSAN.