MAIPs, JHEV jalin kerjasama strategik perkukuh bantuan kepada veteran ATM - Utusan Malaysia

MAIPs, JHEV jalin kerjasama strategik perkukuh bantuan kepada veteran ATM

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) menerima cederahati di Galeri Diraja Arau, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bakal menjalinkan kerjasama strategik dalam memperkukuhkan bantuan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini.

Perbincangan kerjasama itu diketuai Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah di Galeri Diraja Arau, semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama dalam perbincangan itu adalah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Iswandy Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol (B) Azwadi Jamian dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Mejar Mohd Izmer Ghazali.

Pada perbincangan itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan agar kerjasama tersebut dapat memperkukuh sokongan terhadap veteran ATM khususnya dalam memastikan kebajikan pihak terlibat terus terbela.

Titah baginda, langkah ini juga dapat membuka lebih banyak peluang untuk kehidupan golongan berkenaan selepas menamatkan perkhidmatan mereka.

Menerusi inisiatif ini, MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) telah mengenal pasti beberapa program dan latihan khusus dalam membantu veteran ATM sewaktu fasa peralihan selepas tamat perkhidmatan.

Antara usaha utama yang akan dilaksanakan termasuklah penyertaan pihak terlibat dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program keusahawanan yang turut melibatkan isteri pegawai serta anggota ATM.

Dalam perkembangan sama, MAIPs juga akan mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Bahagian Kerjaya Sosial (BKS) bagi menambah baik modul atau kursus persediaan sebelum persaraan pihak terlibat.

Untuk rekod, jumlah veteran ATM di Perlis kini adalah seramai 3,223 orang, merangkumi 1,367 veteran berpencen, 1,481 veteran tidak berpencen dan 385 penerima pencen terbitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya