Kumpul makanan luput ‘beri anak makan’ - Utusan Malaysia

Kumpul makanan luput ‘beri anak makan’

JANI Yusof bersama isteri dan tiga anaknya di Kampung Darat Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Desakan hidup mendorong seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang tinggal di Kampung Darat Batu Rakit di sini, terpaksa mencari makanan tamat tempoh bagi memastikan dapur rumahnya sentiasa ‘berasap’.

Kebanyakan barangan diku­tipnya adalah produk makanan yang sudah tidak boleh dijual di pasar raya atau pasar mini di sekitar daerah ini.

Jani Yusof, 62 berkata, lazim­nya dia mengambil makanan seperti biskut, serbuk teh dan kopi, serbuk rempah ratus, ba­wang, susu dan telur yang sudah pecah untuk dijadikan sebagai lauk harian.

“Barang-barang ini sudah ti­dak dijual di kedai runcit atau pasar raya kerana tamat tempoh, namun saya tetap mengambilnya untuk dibawa pulang ke rumah kerana ia masih elok digunakan.

“Namun, saya tidaklah memberi makanan sisa orang dari tong sampah untuk tiga anak kerana tidak sampai hati dan saya masih tahu menilai tahap kebersihan yang wajar untuk tumbesaran mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ketika ini, Jani bersama isterinya, Maznah Abu Bakar, 43, mencari rezeki sebagai pengumpul besi dan bahan kitar semula untuk dijual kepada pembekal dengan pendapatan tidak sampai RM200 sebulan.

Pasangan tersebut mempunyai tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqil Azhari, 8; Muhammad Syahrin Izzudin, 7, dan Nur Jannah, 2.

Jani berkata, ketika ini dia mendapat bantuan sara hidup daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM4,000 setahun serta bantuan bulanan da­ripada Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan.

Namun, dia berkata, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka lima beranak.

“Rumah ini pun dibina ala kadar sahaja menggunakan wang simpanan buat masa ini, saya gunakan kanvas dan kain rentang yang dikutip di tempat buangan sebagai dinding sementara dan kain perca pula dijadikan pemisah tempat tidur” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Jani di talian 019-4133790 atau memberi sumbangan menerusi akaun bank Jani Yusof di BSN (1110229000203323).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya