KUALA TERENGGANU: Dakwaan mengatakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) tidak memberi kerjasama untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan terkemuka adalah tidak benar.
Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perkara tersebut adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri manakala sebahagian kecilnya sahaja diuruskan oleh lembaga berkenaan.
“Kami di Ketengah hanya menguruskan Pulau Petang dan santuari kelah sebagai destinasi tumpuan pelancong. Pulau-pulau lain adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri termasuk pengurusan acara dan pembangunan produk pelancongan.
“Itulah yang saya lakukan ketika menjadi Menteri Besar dengan membuat banyak projek pembangunan di Tasik Kenyir manakala Ketengah tidak terlibat dengan semuanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dilaporkan berkata, kerajaan negeri tetap komited melaksanakan pembangunan di Tasik Kenyir meskipun tidak mendapat kerjasama daripada Ketengah.
Razali mendakwa, keengganan Ketengah itu menyebabkan potensi besar Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan terkenal sukar diterokai dan usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan lebih banyak program dan infrastruktur baharu juga akan terbantut.-UTUSAN.