KANGAR: Kebanyakan hotel murah di bawah RM150 dengan suasana persis hotel lima bintang menjadi antara tarikan rakyat Malaysia terus menjadikan Thailand terutama Hatyai sebagai lokasi pilihan percutian.
Sepanjang empat hari cuti Tahun Baharu Cina membawa ke hujung minggu, dianggarkan 30,000 bilik di Songkhla khususnya di Hatyai ditempah dengan lebih 100,000 rakyat Malaysia mengunjungi Thailand sepanjang tempoh berkenaan, malah angka tersebut dijangka terus meningkat sehingga hujung bulan ini.
Dalam tempoh empat hari itu juga, lebih RM70 juta duit rakyat negara ini mengalir ke Thailand dengan mengambil kira seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM700 sepanjang tempoh bercuti.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, tarikan hotel murah, menarik dan selesa menjadi antara faktor rakyat Malaysia gemar bermalam di sini malah ratusan hotel di Hatyai, mampu menampung kehadiran pengunjung.
“Hotel di Thailand lebih murah, antaranya Centara Hotel Hatyai iaitu salah sebuah hotel berkelas lima bintang yang menawarkan harga sekitar RM320 sahaja yang lebih kurang sama jika di Malaysia sekitar RM400.
“Hotel di Thailand pula kebanyakan sekitar harga antara RM100 hingga RM150. Meskipun murah, hotel selesa termasuk kemudahan kolam renang dan sarapan pagi.
“Selain kadar bayaran hotel yang murah, makanan, tarikan lokasi menarik dan tumpuan membeli belah, menjadi antara faktor rakyat Malaysia mengunjungi Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Aida menjangkakan pelancong Malaysia ke negara berkenaan boleh mencecah 250,000 ke 400,000 dalam tempoh sebulan dari 20 Januari sehingga 20 Februari depan dengan lokasi tumpuan pelancong seperti pasar terapung dan bandar Hatyai.
“Selain Hatyai, kawasan-kawasan pelancongan lain seperti Satun, Krabi, Pattani selalunya akan diserbu pelancong,” katanya.
Pengunjung, Mohd. Nazmi Aznan,37, berkata, belanja RM150 pun cukup dan boleh menikmati bilik hotel yang besar mewah dengan kemudahan kolam renang termasuk sarapan pagi.
“Bagi rakyat Malaysia yang sering berkunjung ke Thailand, hotel berharga RM100 semalam itu juga sudah cukup ‘mewah’ malah di bandar Hatyai memberikan lebih banyak pilihan hotel,” katanya.-UTUSAN.