PASIR SALAK: Seorang wanita meminta bantuan orang ramai bagi mengesan suaminya yang menghilangkan diri sejak setahun lalu.
Nor Adila Sazli, 31, berkata, suaminya, Kamarulzaman Odin, 36, tidak pulang ke rumah selepas mendapat pekerjaan sebagai kelindan lori di tempat baharu di sini.
Menurutnya, sejak itu, dia dan dua anaknya menjalani hidup dalam kesukaran terutama daripada segi kewangan untuk perbelanjaan harian.
“Saya hidup seperti digantung tidak bertali. Kerana suami masih menghilangkan diri tanpa khabar berita, saya menanggung dua anak. Sukar untuk saya mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak kerajaan kerana status saya yang masih bergelar isteri, namun suami sudah setahun menghilang.
“Saya berharap suami segera pulang demi saya dan anak-anak. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suami saya, boleh menghubungi saya di nombor 011-73569086,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sungai Manik.
Tambah Nor Adila, setelah setahun mengharungi hidup tidak menentu, dia reda terhadap sebarang keputusan suaminya sama ada mahu meneruskan hidup sebagai suami isteri atau sebaliknya.
Katanya, jika suaminya pulang, dia mahu perkara itu diselesaikan melalui perbincangan agar mereka dapat membuat perancangan demi masa depan masing-masing.
“Saya seperti dihukum tanpa sebab, begitu juga anak-anak yang rindukan bapa mereka, setiap hari bertanyakan mengenai bapa mereka. Tanpa kesahihan status saya, sukar untuk mendapatkan pekerjaan, juga susah hendak dapatkan bantuan selagi tiada surat pengesahan perceraian.
“Anak-anak semakin membesar, mereka sudah ada perasaan malu apabila ditanya mengenai bapa mereka yang menghilangkan diri. Sejak suami menghilangkan diri, saya menumpang di rumah emak,” ujarnya.-UTUSAN.